Sunday 22 June 2014

Resepi Donut Big Apple


RESEPI DONUT BIG APPLE



            Donut sememangnya menjadi antara makanan kesukaan ramai orang. Resepi Donut Big Apple ini mempunyai rasa yang manis dan lembut dengan pelbagai jenis topping yang sedap dipandang membuatkan makanan ini semakin diminati. Ada yang mengatakan donut dibawa ke Amerika Utara oleh imigran dari Belanda. Namun, National Dunking Association of America (NDAA) menyatakan bahawa penemu donut ini ialah Hanson Crocket Gregory. Namun, penemu donut ini memiliki dua versi cerita yang berbeza.


            Versi pertama, Hanson Gregory ialah seorang kapten kapal yang berasal dari Denmark. Ketika beliau menakhoda kapal dengan dua tangannya, dia menusukkan kuih yang dibawanya pada roda kemudi kapal itu sehingga berlubang. Manakal cerita versi kedua ialah, Hanson Gregory ialah nama seorang anak lelaki yang berumur 15 tahun yang berasal dari Maine, Amerika Syarikat. Ketika ibunya membuat kuih, Hanson melihat bahagian tengah kuih tersebut belum masak. Hanson pun mencungkil bahagian tengah kuih itu dengan menggunakan pisau sehingga berlubang. Apabila dewasa, Hanson dikatakan menjadi nakhoda kapal dan kuih buatannya tersebar sehingga ke pelbagai dunia termasuk Indonesia.


Big Apple, Dunkin Donuts dan Jco merupakan antara kafe donut yang menjadi pilihan dan kegemaran masyarakat di Malaysia. Donut keluaran jenama ini lebih gebu dan enak berbanding donut yang dibuat sendiri. Malahan, donut-donut ini mempunyai pelbagai perisa serta warna yang menarik perhatian orang ramai membelinya terutamanya kanak-kanak.


            Sebagai contoh, CafĂ© Big Apple yang pertama dibuka pada Mei 2007 di The Curve. Big Apple sudah berkembang sehingga 30 cawangan dalam tempoh masa dua tahun beroperasi. Pada masa yang sama, pekerja Big Apple juga sudah bertambah ramai iaitu sebanyak 500 pekerja. Big Apple mempunyai 28 perisa donut dan 20 jenis minuman. Big Apple menggunakan coklat hitam yang kurang manis, susu rendah lemak dan 100% minyak sayuran yang berkhasiat.  Selain itu, donut Big Apple juga mempunyai kalori yang rendah, tahap gula yang rendah dan membolehkan anda menikmati snek anda tanpa lemak dan gula berlebihan. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat sendiri donut kesukaan ramai orang ini.

 

            Manakala Dunkin Donuts pula mempunyai lebih 18 000 francais atau pengedar di hamper 60 negara di seluruh dunia. Kumpulan Jenama Dunkin’. Inc merupakan salah satu francais terkemuka di dunia restoran perkhidmatan segera (QSR) yang menyediakan khidmat kopi panas dan sejuk, barang-barang bakar dan juga aiskrim. Pada akhir tahun 2013, hampir 100 peratus model perniagaan Dunkin’ Brands digunakan termasuklah 11000 restoran Dunkin’ Donuts dan 7300 restoran Baskin-Robbins. Dunkin’ Donuts ditubuhkan pada tahun 1950 dan menjadi kegemaran Amerika sepanjang hari dan setiap hari akan ada individu yang berhenti untuk minum kopi dan makanan yang dibakar. Dunkin’ Donuts ialah peneraju pasaran dalam pelbagai jenis kopi, kopi ais, donut, bagel dan muffin. Kini, anda boleh membuat donut segebu yang ada di pasaran.

 

Bahan-bahan untuk Donut Ala Big Apple

1.      1/2 kilogram tepung gandum

2.      3 sudu makan marjerin

3.      1/2 cawan susu pekat

4.      Seketul mauripan sebesar ibu jari atau yis basah

5.      Secawan air suam

6.      1/2 sudu makan gula

 

Cara-cara Membuat Donut Ala Big Apple

1.      Campurkan air suam, yis, gula dan sedikit garam di dalam satu mangkuk.

2.      Bahan-bahan tersebut perlu dipukul rata dan ketepikan.

3.      Anda perlu biarkan bahan tersebut berbuih.

4.      Sementara itu, ambil bekas lain dan masukkan tepung, marjerin dan susu pekat.

5.      Anda perlu gaul rata sehingga bahan-bahan tersebut berderai.

6.      Masukkan yis yang telah anda ketepikan tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan tersebut.

7.      Uli bahan-bahan tersebut sehingga menjadi doh.

8.      Anda perlu leperkan adunan tersebut di  atas dulang dan tekapkan dengan acuan.

9.      Anda boleh menggunakan cawan plastik sekiranya anda tidak mempunyai acuan.

10.  Besar donut  tersebut bergantung kepada citarasa anda.

11.  Biarkan beberapa minit sehingga doh naik.

12.  Selepas doh naik, barulah anda boleh menggoreng donut tersebut dengan api yang sederhana.

13.  Sekiranya donut anda sudah agak garing, angkat dan golekkan donut anda di  atas gula kaster.

14.  Pastikan anda menggolekkan donut semasa donut anda masih panas supaya gulanya melekat.

 


Bahan-bahan untuk Krim Keju

1.      1 cawan susu pekat

2.      150 gram krim keju

 

Cara-cara Membuat Krim Keju

1.      Pukul kedua-dua bahan tersebut sehingga lembut dan sebati.

2.      Kemudian, ambil donut anda dan oleskan keju tersebut di atasnya.

3.      Anda boleh parutkan cheesedale sebagai hiasan di atasnya.

 

Donut yang telah siap sedia boleh dihidangkan bersama coklat panas atau kopi atau teh mengikut citarasa masing-masing. Hidangan resepi donut big apple ini boleh dihidang semasa minum petang atau sebagai sarapan pagi anda. Selain itu, anda boleh menghidangkannya kepada tetamu yang hadir ke rumah anda ketika hari raya nanti.